6 November 2016 - 17:41
Pengaruh Barat Di Syria Melemah: Assad.

Presiden Syria Bashar al-Assad berkata pengaruh Barat di negara Syria semakin melemah memandangkan pihak tentera kerajaan dan sekutunya kini semakin banyak mencapai kejayaan di dalam peperangan mereka menentang kumpulan militan dan pengganas yang ditaja oleh kuasa asing.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Syria Bashar al-Assad berkata pengaruh Barat di negara Syria semakin melemah memandangkan pihak tentera kerajaan dan sekutunya kini semakin banyak mencapai kejayaan di dalam peperangan mereka menentang kumpulan militan dan pengganas yang ditaja oleh kuasa asing.

"Pada masa lalu, jika saya mengatakan sesuatu, orang akan menuduh bahawa presiden Syria sudah terkeluar dari dunia nyata. Kini perkara amat berbeza sekali. Barat sudah menjadi lebih lemah," kata Assad dalam sebuah temu bual beliau dengan The Sunday Times, yang diterbitkan pada hari Ahad.

Pemimpin Syria yang berusia 51 tahun itu turut mempersoalkan peranan yang kononnya dimainkan oleh pakatan tajaan Amerika Syarikat di dalam memerangi kumpulan pengganas Takfiri Daesh, dengan berkata, "Mereka tidak mempunyai asas yang kuat untuk menjelaskan kepada rakyat apa yang berlaku. Daesh giat menyeludup minyak dan menggunakan medan minyak Iraq untuk mengumpul dana mereka, dan Barat tidak berkata apa-apa walaupun semua ini dilakukan di bawah pantauan satelit-satelit mereka".

Beliau kemudiannya memuji serangan udara yang dilancarkan oleh pihak Rusia ke atas kedudukan-kedudukan para pengganas Daesh dan yang lain di Syria.

"Apa bezanya (antara kami dan para militan)? Sudah tentu, adalah kuasa tembakan. Mereka mempunyai kuasa tembakan dan kami tidak memilikinya. Pokoknya kami telah berjuang dan bergelut dengan kumpulan pengganas yang memiliki sumber yang tidak putus-putus. Namun kuasa tembak pihak Rusia dan sokongan Iran telah mengubah semua itu, " kata Assad.

Presiden Syria menegaskan bahawa di sebalik semua yang di atas, Rusia tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman Syria. Beliau juga mengatakan Moscow tidak pernah cuba untuk mencari sebarang manfaat politik daripada kerajaan Damsyik berikutan bantuannya ke atas Syria.